PASUKAN futsal Terengganu meletakkan sasaran sekurang-kurangnya menyamai pencapaian tahun lalu menjelang aksi pembukaan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL), Sabtu ini.
Ketua jurulatihnya, Mohd. Rozairi Ahmad, berkata, beliau enggan meletakkan tekanan tinggi buat skuad kendaliannya yang dibarisi 11 muka baharu terdiri daripada pemain bawah 21 tahun.
Menurut Mohd. Rozairi, Terengganu juga tidak mempertaruhkan khidmat awang import sekali gus pasukan tunggal dalam MPFL yang turun tanpa pemain asing untuk tahun ini.
“Persiapan kami agak singkat sejak tiga minggu lalu dengan hampir 80 peratus muka baharu iaitu skuad Sukan Malaysia (Sukma) manakala hanya lapan pemain 2023 dikekalkan.
“Tahun lalu kami sudah meraih keputusan cukup baik selepas menamatkan Piala Futsal Malaysia (MFC) di tempat keempat manakala saingan kalah mati liga di peringkat suku akhir.
“Jadi untuk musim ini, saya hanya mahu memberi pendedahan kepada pemain selain medan persiapan Sukma tahun ini,” katanya kepada Flash Sukan pada majlis bersama penaja utama, Komi, petang tadi.
Jelas Mohd. Rozairi, aksi pembukaan Divisyen 1 MPFL bertemu KL City FC, Sabtu ini harus dimanfaatkan untuk memulakan kempen liga dengan langkah kanan meskipun tanpa awang import.
“Tidak banyak diketahui kekuatan KL City FC terutama pemain import mereka malah kami tidak pernah bertemu musim lalu, tetapi rekod sebelum ini agak baik terutama di laman sendiri,” katanya.