PASUKAN Terengganu terpaksa melupakan khidmat tonggak import tunggalnya untuk saingan awal Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) yang membuka tirai Sabtu ini.
Jurulatih Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad, berkata, Andika Santoso, daripada Indonesia perlu diketepikan sekurang-kurangnya selama sebulan akibat kecederaan lutut.
Namun menurut Rozairi, isu berkenaan tidak akan menjejaskan moral Terengganu yang meletakkan sasaran empat pasukan teratas dalam saingan Kumpulan A MPFL.
“Persiapan kami agak lewat berbanding pasukan lain tetapi itu bukan alasan untuk Terengganu sekadar menjadi pasukan pelengkap bagi memberi cabaran musim ini.
“Setelah menduduki tempat ketujuh pada 2022, kami meletakkan sasaran empat terbaik dan mara ke pusingan kalah mati Piala Futsal Malaysia,” jelasnya ketika ditemui Flash Sukan di sini, semalam.
Rozairi memberitahu, ketiadaan Andika bakal diisi pemain sedia ada termasuk bekas tonggak negara, Akil Khalis Adli Khairus yang kembali memperkuatkan Terengganu.
Katanya, 40 peratus pemain musim ini adalah muka baharu untuk mencabar Pahang Rangers, Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia, Kedah, Sabah dan KPT-PST Mustangs dalam Kumpulan A.
Terengganu akan membuka gelanggang dan menerima kunjungan Kedah di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada Sabtu sebelum bertemu ATM di tempat lawan pada 26 Februari.