KONTINJEN Paralimpik ke Paris 2024, dijangka lebih besar berbanding edisi Tokyo 2020.

Bayangan itu diberikan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman yang menjangkakan kira-kira 50 orang membabitkan 30 atlet dan 20 pegawai, akan mewakili negara di temasya itu.

Menurutnya, jangkaan 30 atlet itu melepasi jumlah 22 atlet yang beraksi di Tokyo.

“Saya anggarkan saiz kontinjen dalam 50 orang termasuk pegawai dan atlet kira-kira 30 orang,” kata Megat yang kini berada di Paris, menghadiri Seminar Ketua Kontinjen bagi temasya terbabit.

Pada edisi Tokyo 2020, kontinjen negara diwakili 22 atlet, menyertai 32 acara dan membawa pulang tiga pingat emas, dua perak masing-masing menerusi acara powerlifting, badminton, boccia dan olahraga.

Presiden MPM, Dato Seri Megat D Shariman Zaharudin jangkakan 30 atlet para ke Sukan Paralimpik Paris 2024.

Pada temasya itu, emas negara diraih menerusi jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara 72 kilogram (kg); atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou (perseorangan SU5) dan Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).

Mengulas mengenai prestasi semasa, Bonnie berada di landasan terbaik mempertahankan pingat emas dimenangi selepas meleburkan rekod dunia dalam acara 72 kg di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), minggu lalu.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga untuk mengatasi rekod lama miliknya, 230kg yang dilakukan ketika Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Cheah Liek Hou (tengah), dijangka terus menjadi sandaran membawa pulang pingat emas Kontinjen Paralimpik negara di Paris 2024.

Mengulas mengenai pencapaian pemenang pingat emas Tokyo 2020 itu, Megat optimis Bonnie bersama rakan senegara yang lain termasuk Liek Hou dan Abdul Latif akan menggalas cabaran Malaysia di Paris 2024.

“Kita masih menunggu secara rasmi (kelayakan Paris 2024). Sudah tentu dia (Bonnie) akan ke Paris, termasuk Liek Hou, Latif, dua lagi perenang dan beberapa lagi yang lain. Apapun, sekarang ini, belum ada secara rasmi ((kerana slot kelayakan masih terbuka) dan saya percaya mereka tidak mempunyai masalah untuk layak secara merit,” katanya.

Abdul Latif Romly (empat dari kiri) terus menjadi sandaran olahraga para negara di Paris 2024.

 

Temasya Tokyo 2020, menjadi pencapaian terbaik kontinjen Paralimpik negara dengan meraih tiga emas dan dua perak, mengatasi kutipan tiga emas dan satu gangsa pada temasya Rio 2016.

Pingat Emas Paralimpik Tokyo disumbangkan Bonnie, Cheah Like Hou dan Abdul Latif Romly.

Manakala emas Olimpik Rio pula disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohama Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly.

Pencapaian Malaysia di Paralimpik

Heidelberg 1972: Tiada pingat

Toronto 1976: Tidak menyertai

Arnhem 1980: Tidak menyertai

New York 1984: Tidak menyertai

Seoul 1988: 1 Gangsa

Gangsa – P Mariappan (angkat berat 57kg lelaki)

Barcelona 1992: 1 Perak, 2 gangsa

Perak – Cheok Kon Fatt (angkat berat lelaki 52kg)

Gangsa – P Mariappan (angkat berat lelaki 60kg)

Gangsa – Mohamad Khasseri Othman (Lompat tinggi B2)

Atlanta 1996: Tiada pingat

Sydney 2000: Tiada pingat

Athens 2004: Tiada pingat

Beijing 2008: 1 Gangsa

Gangsa – Siow Lee Chan (angkat berat wanita 56kg)

London 2012: 1 Perak, 1 Gangsa

Perak – Hasihin Sanawi (memanah perseorangan recurve W1/W2)

Gangsa – Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Rio 2016: 3 Emas, 1 Gangsa

Emas – Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m lelaki T36)

Emas – Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki F20)

Emas – Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Gangsa – Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh wanita T20)

Tokyo 2020: 3 Emas, 2 Perak

Emas – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting 72kg lelaki)

Emas – Cheah Liek Hou (badminton perseorangan lelaki SU5)

Emas – Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20)

Perak – Jong Yee Khie (powerlifting 107kg)

Perak – Chew Wei Lun (boccia perseorangan)