MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berharap peruntukan yang diumum kerajaan untuk tujuan pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU), sampai sepenuhnya kepada mereka.
Presidennya Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin berkata, peruntukan itu penting untuk pembangunan sukan OKU yang akan digunakan 27 persatuan yang bernaung di bawah MPM.
“Program pembangunan sukan akar umbi dibuat persatuan-persatuan sendiri, jadi jika duit itu sampai, maka tiadalah kekangan untuk persatuan di bawah MPM bergerak di seluruh negara.
“Kita mempunyai program pencarian bakat (TID) dan mempunyai data OKU dalam sukan. Kami perlu uruskan pembangunan seawal darjah satu (7 tahun) hingga 17 tahun. MSN (Majlis Sukan Negara) hanya jalankan program elit,” katanya, selepas melancarkan Karnival Sukan Inspire OKU Aktif peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sempena Hari Sukan Negara di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Asmori Sa’ahari, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Nornai’lah Abdul Latiff dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohammad Asri Ngosman.
Menurut Shariman, MPM telus dalam pencarian bakat dan pembangunan sukan OKU.
Malah bakat yang diketengahkan sudah membuktikan kemampuan setaraf individu normal seperti pencapaian di peringkat olimpik.
Beliau berkata, pada pembentangan Bajet 2023 kali ini, kerajaan menerusi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM12 juta untuk pembangunan sukan OKU, lebih banyak berbanding BAJET 2022 yang diumum tahun lalu iaitu RM10 juta.
“Telus, saya katakan bahawa MPM hanya menerima 20 hingga 30 peratus sahaja dari peruntukan yang diumum tahun lalu.
“Kami perlu ketengahkan atlet di peringkat akar umbi dan memerlukan banyak wang. Bayangkan RM12 juta dibahagikan kepada 27 persatuan di bawah MPM, takkan satu negeri belanja RM8,000 sahaja. Perkara ini perlu disemak semula kerana akar umbi itu penting,” katanya sambil berharap tiada diskriminasi dalam bajet yang disalurkan nanti.
Menurutnya, OKU telah membuktikan kemampuan apabila mengharumkan nama negara dengan memungut tiga pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo menerusi Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting), Cheah Liek Hou (badminton) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20).
Malah, beliau berkata, penyertaan atlet OKU di Sukan Para ASEAN di Solo, Ogos lalu, kontinjen para negara memungut 36 emas 20 perak dan 13 gangsa.