NUR Dhabitah Sabri penerjun berbakat dan masih memiliki kemampuan untuk beraksi dalam tiga acara.
Persekutuan Renang Malaysia (MS) mengandaikan prestasi penerjun itu di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, dipengaruhi faktor kecederaan tricep lengan bukan akibat kemerosotan prestasi.
Setiausaha Agung MS, Andy Low berkata, isu kepenatan beraksi dalam tiga acara yang disuarakan Dhabitah sebaik tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, sekadar keluhan.
“Itu bukan isulah, dari dulu dia bermain tiga acara hingga Sukan Asia Hangzhou, tetapi dia ada juga mengadu penat ketika itu.
“Mungkin betullah dia kepenatan, usia juga sudah naik tahap dua (20-an),” kata Andy, menjawab isu berkaitan keluhan Dhabitah yang berasakan penat bermain banyak acara dan sudah tua ketika menjengah usia 24 tahun.
Namun melihatkan atlet yang mula merungut dan seolah-olah tidak dapat mengikut perancangan jurulatih dan mahu mengikut telunjuk sendiri sahaja, adakah penerjun ini masih relevan dan meletakkan kepentingan negara di dadanya.
“Perkara itu… tanyalah kepada dia (Dhabitah) saya tak boleh menjawab bagi pihaknya.
“Tetapi bagi persatuan, dia masih seorang yang berbakat untuk ketiga-tiga acara itu, malah perkara ini disahkan jurulatih sendiri.”
Andy mengakui, walaupun setiap acara dipertandingkan dalam hari berbeza, namun pusingan kelayakan dan final bagi satu-satu acara. kebiasaannya berlangsung pada hari yang sama dan perkara itu mendatangkan rasa penat.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan, selepas ini akan dipertimbangkan untuk penerjun itu hanya beraksi dalam satu acara.
“Pada hari itu (Doha) dia hanya maklumkan bahawa tiga acara itu penat, tapi dia beraksi dengan baik namun terkesan kecederaan yang dialami.
“Kami akan lihat dan bincang perkara ini, jika itu (satu acara) yang dia mahukan, OK!
“Mungkin selepas ini tidak perlu mengharapkan sangat dan kalau dia tak berdaya lagi untuk acara-acara ini, kita akan gunakan pelapis baharu,” ujar Andy.
Semalam, MS melakukan mesyuarat bedah siasat prestasi skuad terjun negara, sepanjang penyertaan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.
Artikel Berkaitan
‘Post mortem’ Doha dah siap, siasatan gangguan akan dimulakan
“Jika keputusan baik di Doha, isu ini tak berbangkit” – Bryan
Dhabitah akui ‘harapan’ jadi beban hingga gagal menyerlah