PELUMBA pasukan YAMAHA TEKHNE RACING TEAM ASIA, Kasma Daniel Kasmayudin mencatat keputusan terbaik sesi latihan bebas bagi kategori MSBK1000 A Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.

Kasma mencatatkan masa pusingan terpantas 2’07:842s, mempamerkan kawalan dan konsistensi yang luar biasa sepanjang kedua-dua sesi latihan.

Persembahan mantap ini menjadikannya calon utama untuk pusingan kelayakan, di mana persaingan dijangka semakin sengit.

“Hari ini, saya rasa masa pusingan saya agak baik, tetapi saya masih percaya ada ruang untuk penambahbaikan. Saya optimis bahawa kami boleh memperbaiki lagi prestasi.

“Saya berharap cuaca esok cerah dan baik, kerana tidak sabar untuk bersaing merebut tempat di podium untuk Perlumbaan 1,” katanya.

Di tempat kedua, Nakarin Atiratphuvaphat dari HONDA RACING THAILAND mencatat masa 2’08:251s, hanya 0:409s di belakang Kasma manakala ketiga milik Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan HORIZON RACING TEAM mencatat masa 2’08:303s

Keputusan – Top 5

MSBK1000 A
1. Kasma Daniel Kasmayudin – YAMAHA TEKHNE RACING TEAM ASIA (2’07:842s)
2. Nakarin Atiratphuvaphat – HONDA RACING THAILAND (2’08:251s)
3. Azlan Shah Kamaruzaman – HORIZON RACING TEAM (2’08:303s)
4. Zaqhwan Zaidi – BOON SIEW HONDA RACING TEAM (2’08:517s)
5. Md Ibrahim Md Norrodin – FGRT PROJECT (2’09:572s)