PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengorak langkah ke hadapan dalam usaha memperkenalkan jenama persatuan selain persiapan menjelang Temasya Deaflympic 2025 dengan melantik tokoh korporat, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed sebagai penasihat baharu.

Sheikh Farouk dilantik memegang jawatan penasihat itu berkuatkuasa pada 1 November 2024 dan ketokohan dia sememangnya dikenali dalam industri sukan sebagai antara penyumbang tajaan terbesar dalam negara.

Nama Sheikh Farouk tidak perlu diperkenalkan dalam dunia korporat Malaysia kerana dia pernah menerajui syarikat korporat selain juga mempunyai hubungan baik dengan pihak Kerajaan Malaysia, rakan-rakan syarikat korporat termasuk juga badan-badan sukan kebangsaan di Malaysia.

Penglibatan Sheikh Farouk bersama MSDeaf bermula pada temasya SOPMA XXI 2023 lalu di Kuala Lumpur dengan muncul sebagai penaja utama bagi temasya sukan orang Pekak tersebut.

Atas sebab itu MSDeaf yakin dengan perlantikan ini yang dianggap tepat pada masanya bagi memperkenalkan jenama MSDeaf sebagai badan sukan orang Pekak yang menerajui pembangunan sukan orang Pekak di Malaysia.

Tugasan utama Sheikh Farouk adalah bagi memastikan persatuan ini berdaya saing dari segi kedudukan kewangan sebagai persiapan atlet-atlet untuk mewakili negara ke Sukan Deaflympic 2025 yang berlangsung pada November 2025 di Tokyo.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukkan RM3 juta ketika pembentangan Belanjawan 2025 bagi persiapan atlet ke Tokyo.