MENGENAI idealisasi baru yang telah dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad ingin elemen patuh syariah dilaksanakan dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 2028.
Perkara yang diimpikan oleh pihak kerajaan negeri itu dianggap dapat berjalan selari dengan dasar pentadbiran negeri Kelantan sekali gus memohon sokongan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutamanya ADUN Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim bagi merealisasikan usaha itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut memberi pencerahan tentang perkara yang tercetus ini bahawa pihak Majlis Sukan Negara (MSN) masih belum menerima sebarang makluman mengenai idea yang diajukan dalam persidangan DUN tersebut.
Menurut beliau juga, masih terlalu awal untuk mengulas tentang perkara ini kerana perjalanan ke SUKMA Kelantan masih agak jauh dan ada beberapa lagi sukan atau temasya yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat ini.
“Kita akan adakan mesyuarat nanti bersama mereka tetapi sekarang ini kita fokus untuk SUKMA Sarawak dahulu, tahun depan waktu yang sangat sibuk untuk kita semua, tapi seperti saya nyatakan priority kita sekarang (pada) Januari dahulu KWSP dan Perkeso.
“Saya percaya negeri Kelantan ada pemikiran mereka tetapi kerajaan persekutuan kita juga ada pemikiran kita sendiri.
“Isu ini juga telah dibangkitkan bukan dalam mesyuarat kita, tetapi dalam persidangan DUN mereka. Jadi untuk kita, masih belum terima apa-apa lagi daripada Exco Negeri Kelantan dan mereka baru sahaja mendapat seorang Exco baharu,” ujarnya kepada pihak media.
Sementara itu, antara sukan yang menjadi tumpuan utama dalam suntikan elemen patuh syariah ini adalah seperti acara yang dipandang sensitif iaitu renang, renang berirama dan sebagainya.