MAJLIS Sukan Negara (MSN) membalas tuduhan yang dibuat oleh Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan melampau.

Sebelum ini, Flash Sukan melaporkan bahawa, Megat D Shahriman mendakwa MSN campur tangan dalam pengurusan kontinjen Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024, dan menyalahkan campur tangan tersebut sebagai faktor kegagalan Malaysia untuk mencapai sasaran empat pingat emas.

Selain itu, beliau juga mendakwa MSN telah membuli ketua kontinjen negara, Datuk R Subramaniam, serta tidak menghormatinya.

KP MSN, Abdul Rashid Yaakub terkejut apabila MSN dipersalahkan.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub, tampil mempertahankan agensi tersebut dan menegaskan bahawa tuduhan yang dilontarkan adalah tidak berasas.

Menurut beliau, MSN sentiasa bekerjasama dengan MPM dalam persiapan atlet para negara untuk temasya tersebut.

Abdul Rashid menjelaskan bahawa Megat Shahriman sepatutnya berterima kasih kepada MSN atas bantuan yang telah diberikan.

Abdul Rashid menganggap kenyataan tersebut sebagai tergesa-gesa dan melulu, terutama kerana ia dikeluarkan selepas atlet lompat jauh para, Datuk Abdul Latif Romly, gagal meraih emas dan hanya memperoleh tempat kedua.

Beliau turut mempersoalkan motif di sebalik kenyataan dibuat Megat D Shahriman, dan menegaskan bahawa MSN tidak campur tangan dalam keputusan yang melibatkan pelantikan ketua kontinjen atau dalam sebarang keputusan penting.

“Selama ini, kami berjumpa dan berbincang dengan ketua kontinjen serta pihak MPM setiap hari. Semua keputusan adalah hasil perbincangan bersama. Kami tidak pernah mempertikaikan pelantikan ketua kontinjen dan segala tindakan kami dirujuk kepada pihak MPM, termasuk semasa berada di Paris,” kata Abdul Rashid ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Paris, semalam.

Beliau juga menanggap tuduhan bahawa MSN membuli ketua kontinjen dengan menyatakan bahawa jika benar MSN membuli, pasti ada sesuatu yang diinginkan daripada individu tersebut.

Namun, menurutnya, MSN sentiasa memberikan sokongan kepada MPM dan bekerjasama dengan penuh semangat.

“Apabila hanya dua pingat emas diperoleh, tohmahan dan tuduhan mula timbul. Kenapa perlu menuding jari dan mencari kesalahan? Lebih baik kita duduk bersama dan mengucapkan terima kasih kepada satu sama lain,” tegas Abdul Rashid.

Di Sukan Paralimpik Paris, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 keseluruhan dengan dua emas, dua perak, dan satu gangsa.

Dua emas negara disumbangkan atlet badminton para, Cheah Liek Hou, dan jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin.

Perak diperoleh Latif dalam acara lompat jauh dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru. Gangsa pula diraih oleh Eddy Bernard dalam acara 100m.