EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan negeri Selangor, Najwan Halimi melancarkan tabung solidariti bersama Selangor FC.

Beliau sebagai wakil kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancarkan tabung solidariti itu bermula malam semalam sehingga 2 Julai ini.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor yang mencerminkan ketegasan dan kepekaan Baginda terhadap pelbagai isu dan ketidakadilan yang sedang dihadapi oleh Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC).

“Susulan daripada keputusan tidak adil dan bersifat penindasan yang dijatuhkan oleh Malaysian Football League (MFL) kepada Selangor FC semalam, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan melancarkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC bermula pada malam ini sehingga 2 Julai 2024.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada semua rakyat Malaysia dan para peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian untuk menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 kepada Tabung Solidariti Bersama Selangor FC,” menurutnya dalam kenyataan media itu.

“Hasil dari sumbangan ini kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL,” tambahnya lagi.

Kepada yang berhasrat untuk menyumbang, anda boleh mengimbas kod QR diatas sebagai tanda solidariti anda

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk mendenda pasukan Selangor FC sebanyak RM 100,000, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung oleh JDT dan MFL, pemotongan tiga mata untuk pasukan Merah Kuning dan perlawanan (LS14) melibatkan Selangor dan JDT akan dimainkan tanpa penonton.

Perkara ini berlaku selepas ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Meinlalu ekoran masalah keselamatan yang dihadapi pasukan susulan kes simbahan asid terhadap pemain sayap negara dan Selangor, Faisal Halim.

Denda yang diberi oleh MFL telah menerima kecaman hebat daripada peminat bola sepak tanah air yang menyifatkan pengelola liga itu tidak berperikemanusiaan dan tidak mempunyai sifat empati.

Sultan Selangor juga turut murka dengan keputusan yang dibuat oleh MFL itu.