PENDATANG baharu kejuaraan ragbi Malaysia Super School 15 Sepasukan musim ini, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) hadir selaku pasukan bukan pilihan kini mula menjadi tumpuan setelah membelasah pasukan pelawat Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam(HSBM) berkeputusan 29 tanpa balasan.
Aksi kedua peringkat kumpulan yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu memperlihatkan penguasaan padang sepanjang perlawanan memihak kepada pasukan tuan rumah sepenuhnya memaksa HSBM tercunggap mencari rentak memburu mata kejohanan.
Jatuhan try pertama milik Sesma pada seawal minit ke-7 permainan yang disempurnakan oleh pemain scrumhalf Muhammad Faiz Zak Wan Kamil Husni mencipta sensasi perlawanan yang disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah yang turut dihadiri oleh bekas-bekas pelajar sekolah itu.
Tambahan tujuh mata lagi buat Sesma berjaya diterjemah melalui satu jatuhan try dan dua mata melalui tendangan conversion untuk mendahului keputusan 12-0 pada separuh masa pertama.
Pada aksi separuh masa kedua, pasukan tuan rumah di bawah kendalian ketua jurulatih Asaari Abdullah yang juga merupakan pengetua Sesma membuat pertukaran pemain untuk taktikal bertempo laju yang memaksa jentera pertahanan pasukan pelawat terpaksa berhempas pulas menahan asakan demi asakan tanpa peluang mencipta mata.
Percaturan itu ternyata membuahkan hasil dengan tambahan 17 mata lagi yang diterjemah melalui dua jatuhan try dan satu tendangan conversion untuk memihak kepada Sesma sehingga tamat perlawanan.
“Kemenangan hari ini merupakan satu momentum terbaik buat Sesma untuk mempamerkan aksi sebenar dan ianya satu kelebihan buat kami beraksi di laman sendiri di hadapan penyokong-penyokong kami malah dengan kehadiran bekas-bekas pelajar sekolah ini sekaligus memberi satu sokongan moral yang jitu buat kami.
“Walaupun kami menang untuk berkeputusan 29-00 menafikan Bukit Mertajam, tidak dinafikan banyak kesilapan mudah masih berlaku seperti mana aksi perlawanan pertama kami yang ditewaskan oleh MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) minggu lepas.
“Seterusnya kami berharap momentum ini dapat dikekalkan untuk bertemu MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar,) yang merupakan pasukan pilihan kejuaraan pada minggu hadapan.
“Untuk kejuaraan ini, Sesma menyasarkan sekurang-kurangnya layak untuk ke pusingan kedua sekaligus mara ke suku akhir dan seterusnya. Walaupun diundi di dalam kumpulan maut namun rata-rata kualiti setiap pasukan yang bertanding, kami yakin untuk tidak memberi laluan mudah kepada mana-mana pasukan.” ujar pengurus pasukan Sesma Nizam Kamal yang juga merupakan pengurus pasukan Terengganu ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA 2024) nanti.
Manakala buat pasukan pelawat, pengurus pasukan HSBM Mohamad Roslaini Abdul Razak menyifatkan tuah tidak memihak kepada pasukanya walaupun banyak kesilapan mudah dilakukan oleh pasukan lawan gagal untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Seterusnya HSBM akan menerima kunjungan STAR di Bukit Mertajam pada aksi minggu hadapan menjangkakan tidak akan memberi laluan mudah kepada pasukan pelawat itu.
Seterusnya bagi aksi peringkat kumpulan, Sesma dijadualkan untuk bertemu Kolej Melayu Kuala Kangsar selaku pasukan pilihan kejuaraan ini di Kuala Kangsar pada Sabtu ini.
Sesma yang membuat penampilan pertama kali di pentas kejuaraan edisi ke-6 ini merupakan satu-satunya pasukan dari Terengganu layak untuk beraksi di pentas Malaysia Super School 15 yang disertai oleh pasukan-pasukan ragbi terbaik di antara sekolah-sekolah menengah dari seluruh negara.
Pada musim ini Sesma telah diundi untuk berada di dalam kumpulan maut bersama-sama Kolej Melayu Kuala Kangsar, Sekolah Tuanku Abdul Rahman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam yang merupakan kuasa-kuasa besar sukan ragbi di peringkat sekolah kebangsaan.
Sebanyak 16 pasukan layak bertanding pada musim ini di mana juara bertahan Maktab Sultan Abu Bakar telah diundi untuk bersama pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar dan Sekolah Sultan Alam Shah.
Penentuan kejuaraan berstatus kebangsaan ini dijadualkan melabuhkan tirai pada Ogos nanti.