NUR Assyira Zainal Abidin mempertahan pingat perak dimenangi di temasya Sukan SEA Hanoi apabila mengulangi pencapaian itu dalam aksi basikal bukit yang berrlangsung di Kulen Mountain, Siem Reap.

Perkhabaran dari jauh kira-kira 320 kilometer (km) dari Phnom Penh itu hadir Ketika tumpuan media terarah kepada siapakah bakal menyumbang emas pertama negara di Pusat Konvensyen Chroy Changvar atau Kompleks Sukan Techo Morodok.

Nur Assyira mempamerkan kayuhan bertenaga dalam acara basikal lask individu XCO, dengan catatan satu jam 17 minit 9 saat, tewas kepada pelumba Indonesia, Sayu Bella Sukma Dewi yang memenangi emas (1:13:43s) manakala gangsa milik pelumba Thailand, Yonthanan Ponkhla (1:18:42s)

Biarpun bahang kepanasan mencecah hampir 40 darjah celcius tidak menghalang Nur Assyira mengekalkan momentum kayuhan pada perlumbaan sejauh 18.5 kilometer.

Pengurus pasukan skuad MTB Mohd Saiful Abdul Jalil berkata, kejayaan membawa pulang perak itu dianggap satu kejutan memandang peserta lain cukup hebat selain cuaca cukup panas sekali gus mungkin mengganggu tumpuan pelumba.

“Alhamdulillah, Malaysia berjaya membawa pulang perak pada acara ini walaupun pada asalnya tidak meletakkan harapan tinggi.

“Kejayaan ini meniup semangat kepada wakil Malaysia lain dalam acara MTB untuk mencipta keputusan positif pada acara lain,” katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Nur Assyira berjaya mempertahankan pingat perak yang dimenangi di Sukan SEA Vietnam pada tahun lalu.