SERAMAI 28 peninju dari dalam dan luar negara bakal merebut gelaran ‘King of The Ring’ juga memburu 10 tali pinggang di Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muaythai Challenge 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada 24 hingga 25 Februari 2024.
Kejohanan yang turut mencatatkan penyertaan dari dua regu kanak-kanak serta satu regu wanita ini merupakan anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah bersama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Setiausaha Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Muhammad Firdaus Yaacop menyatakan bahawa penganjuran program kali ke-73 ini sekali gus menjadi sebuah acara yang hebat dalam mengisi Kalender Hari Wilayah Persekutuan 2024.
“Kami mensasarkan kehadiran lebih 5,000 penonton dari dalam dan luar negara yang bakal memenuhi ruangan Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur iaitu stadium yang popular dengan acara Muaythai Kuda Merah sejak tahun 2011.
“Apatah lagi, regu-regu yang akan bertanding adalah yang ditunggu-tunggu dan menjadi bualan panas di media sosial sejak dua bulan lalu.
“Selain dari mempromosikan Kalender acara Hari Wilayah Persekutuan ke-50 Tahun, acara ini juga bertujuan untuk menarik warga Wilayah Persekutuan mengikuti aktiviti sihat terutamanya aktiviti sukan dan riadah di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.
“Kejohanan pada kali ini turut menyaksikan penampilan Istimewa peninju-peninju tempatan terutamanya dari Wilayah Persekutuan yang akan dicabar oleh peninju-peninju dari dalam dan luar negara,” ujar beliau.
Sementara itu, satu daripada 10 tali pinggang adalah ditaja oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami dari Syarikat Simply Siti yang dipertandingkan dalam kategori Wanita Super Fight pada malam pertama kejohanan iaitu 24 Februari.
Pemenang yang terbaik akan dipilih untuk ke acara kemuncak, Grand Final Kuda Merah pada 16 hingga 17 November 2024 juga bertempat di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur.