JENAMA barangan sukan tempatan, Al-Ikhsan mengumumkan pemenang bagi peraduan ‘The Ultimate Sports Experience – Spend and Win’.
Peraduan yang telah berlangsung sejak Julai 2023 sehingga Mac 2024 itu diadakan bersempena ulang tahun Al-Ikhsan Sports yang ke-30.
Al-Ikhsan melalui peraduan itu telah menawarkan nilai hadiah bernilai hampir RM1 juta, antaranya adalah telefon bimbit, perkakas rumah dan baucer tunai.
Hadiah Grand Finale pula diberikan kepada 10 pemenang yang berbelanja bersama jenama Al-Ikhsan selama tempoh peraduan itu.
Antara hadiah Grand Finale adalah tiket bagi menyaksikan Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024, perlawanan bola sepak Euro 2024 di Jerman, perlawanan bola sepak melibatkan Liverpool di Stadium Anfield dan baucer tunai.
Mohd Muazzin Rosely merupakan pemenang bertuah apabila dia berjaya menjadi pemenang utama Grand Finale, sekaligus memenangi dua tiket ke Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik serta penginapan 7 hari 6 malam di Paris.
“Saya berasa sangat terkejut dan pada masa yang sama teruja dengan kemenangan ini.
“Ini merupakan kemenangan terbesar saya setakat ini. Sebelum ini saya pernah menang untuk hadiah bulanan, tidak pernah lagi saya menang peraduan dengan hadiah sebesar ini.
“Saya akan terus sokong Al-Ikhsan pada masa hadapan kerana ia merupakan satu jenama yang boleh dipercayai serta mempunyai kualiti barang yang bagus,” ujarnya.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Al-Ikhsan, Farouk Abdul Khalid pula mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberi sokongan yang teguh selama 30 tahun penubuhan Al-Ikhsan.
“Kehadiran Al-Ikhsan selama 30 tahun di Malaysia telah mempengaruhi lebih ramai peminat sukan untuk kekal aktif dengan Al-Ikhsan Sports, yang dikenali sebagai pusat runcit sukan berkualiti dengan harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan media.