KESEMPATAN membuat liputan perlawanan Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Chinese Taipei di Taipei membawa kembara mengelilingi kota metropolis moden ini untuk melawat tempat tempat tumpuan pelancong.

Bandar Taipei yang kompak ini kelihatan seperti bandar Kuala Lumpur yang mempunyai pelbagai mod transportasi untuk memudahkan pergerakan harian penduduk dan juga pelancong asing.

Buat pelancong yang datang ke Taipei dan mahu melawat tempat-tempat yang menarik tidak perlu gusar kerana segalanya boleh dijangkau menggunakan perkhidmatan Metro Taipei yang efisien, bersih, selamat dan berpatutan.

Peta rangkaian Metro Taipei

Harga tiket bermula dari NT20 (RM3) hingga NT55 (RM8.25) dan dengan frekuensi setiap 5 minit di luar waktu puncak, ianya sangat berbaloi dan dengan majoriti stesen berada di bawah tanah dan disambungkan langsung dengan tempat tujuan yang sangat mudah.

Bagi yang mahu menggunakan perkhidmatan selama sehari tanpa had, anda boleh membeli tiket harian bermula dari NT150 (RM22.50) untuk penggunaan tanpa had dan boleh melawat seberapa tempat yang mampu dalam sehari.

Hotel penginapan FLASH SUKAN berada berhampiran Stadium Perbandaran Taipei yang mempunyai stesen metronya tersendiri, Taipei Arena sekali gus memudahkan eksplorasi ke beberapa tempat wajib dilawati apabila berada di sini.

Pintu gerbang ke Chiang Kai Shek Memorial Hall.

Kami berjaya melihat kawasan paling ‘happening‘ di sekitar Taipei, Ximending yang hanya 10 minit perjalanan dari Taipei Arena untuk merasai sendiri suasana warga tempatan terutama orang muda meluangkan masa bersama rakan-rakan.

Pelbagai spot menarik untuk mengambil gambar bagi diabadikan di laman sosial menjadi tumpuan pelancong yang tenang beratur menunggu giliran untuk bergambar dengan pelbagai gaya dapat dilihat yang sedikit mengundang tawa.

Destinasi seterusnya membawa kami ke Memorial Chiang Kai Shek, wira negara yang juga Presiden Taiwan pertama memegang kuasa dari 1950 hingga 1975 yang jasadnya diabadikan di tempat ini yang diistytihar sebagai monumen nasional Taiwan.

Menara Taipei 101, bangunan tertinggi di Taiwan

Selesai pembelajaran sejarah, kami menuju pula ke Taipei 101, bangunan yang memintas takhta Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di dunia pada 2014 dengan konsep pusat beli belah yang seakan-akan mempunyai rasa seperti KLCC.

Tidak lengkap hadir ke sini jika tidak naik ke menara tinjau pada ketinggian 91 tingkat berharga NT600 (RM90) yang dapat melihat hampir keseluruhan bandar Taipei dan bandar berhampiran bergantung pada keadaan cuaca.

Hari perlawanan sudah tiba dan kami kembali ke Taipei Arena untuk membuat liputan perlawanan Harimau Malaya yang mahukan tiga mata dalam kunjungan ke Taipei ini.

Mesin tiket Metro Taipei turut menyediakan pelbagai pilihan bahasa termasuk Bahasa Melayu

Jadi buat sesiapa yang mahu ke Taipei dan bersiar-siar, Taipei Metro adalah salah satu alternatif yang murah dan efisien yang mesra golongan OKU dan kereta sorong bayi. Namun segalanya terpulang kepada individu.