JAWATANKUASA Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), bermesyuarat dan membuat keputusan rayuan kelab Liga Super Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan ditolak.

Pengerusinya, Mohamad Yasin Abdullah mengumumkan secara rasmi kepada pasukan terbabit pada Selasa.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan MUFC dan SUFC tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023.

“AB telah mempertimbangkan rayuan MUFC dan SUFC berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang telah menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2022 pada 12 Oktober 2022 selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022,” kata kenyataan itu.

 

Terdahulu, Melaka United dan Sarawak United pada 12 Oktober lalu telah dikenakan hukuman tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia 2023 ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan terbabit.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan diberikan peluang mengemukakan rayuan sehingga 19 Oktober lalu dengan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan diperlukan.