PIHAK pengurusan Bola Sepak Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil kepada FC Osaka, kelab Jepun yang beraksi di Liga J3 bermula Julai ini.
Muhammad yang kini baru berusia 19 tahun telah menerima tawaran berkenaan seusai sahaja tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun sehingga 2 Julai yang lalu.
Menurut Muhammad, dirinya sama sekali tidak menjangka akan peluang yang tiba-tiba muncul dan bersyukur kerana diberi rezeki untuk bermain di luar (Jepun).
“Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.
“Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.
“Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3.
“Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar. Insha Allah,” ujarnya menerusi satu kenyataan.
Untuk rekod, Muhammad merupakan antara pemain muda yang telah beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain kesebelasan utama sekaligus berjaya membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super Malaysia bersama skuad utama Gergasi Merah dalam tahun yang sama.
Atas pencapaian tersebut, dia juga telah mendapat panggilan kebangsaan bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.