PELARI remaja negara, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau dijangka tiada masalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Remaja Dunia di Peru, Ogos depan.
Muhammad Hazriq yang mencatat masa sensasi 13.44 saat (s) dalam acara 110 meter (m) lari berpagar, di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara, awal Disember lalu, dianggap sudah melakukan catatan bertaraf dunia, ketika dia mengungguli pingat emas acara itu.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard sendiri menyuarakan keyakinan, terhadap Muhammad Hazriq melepasi masa kelayakan ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Peru Ogos tahun depan.
Ballard ketika ditemui berkata, prestasi Hazriq itu sesuatu yang luar biasa.
“Catatan 13:44s itu menunjukkan Hazriq sudah bertaraf dunia pada usia 17 tahun.
“Ketika ini penting untuk kita pastikan bakatnya terus digilap dan diberi bantuan sewajarnya untuk memastikan dia kekal pada tahap terbaik,” katanya.
Malah Hazriq dijangka tidak berdepan masalah untuk melakukan transisi peralihan dari peringkat remaja ke senior biarpun ketinggian palang yang digunakan dalam larian akan bertukar ke tahap lebih tinggi.
Awal Disember, pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn itu, menyumbangkan dua emas di Bangkok dalam acara 110m lari berpagar dan membantu kuartet 4x100m meraih emas dengan catatan masa 40.56s.