PENGGEMPUR bahagian tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi mendedahkan rahsia kemenangan bertemu Terengganu FC pada saingan separuh akhir pertama adalah kombinasi taktikal yang diterapkan ketiga-tiga jurulatih sebelum ini yang dibawa ke dalam aksi tersebut.

Jelasnya, pengalaman beraksi dengan corak high pressing yang diterapkan Michael Feictenbeiner didorong dengan taktikal penguasaan bola secara total yang diterapkan Nidzam Jamil serta Tan Cheng Hoe jelas merupakan kunci pasukannya berjaya menundukkan Terengganu FC setelah kali terakhir menewaskan Sang Penyu pada 2019.

“Bagi saya sebab kita sudah tukar tiga jurulatih, jadi kita banyak perbaiki dari segi pressing back dari pasukan Selangor. Ia benda baik untuk pasukan Selangor.

” Kehadiran jurulatih Nidzam juga banyak mengarahkan ball possession. Kehadiran Tan Cheng Hoe juga menerapkan kami bermain secara posession football, jadi saya rasa ini amat baik untuk kemajuan pasukan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhairi Luah Rasa Syukur Sumbat Gol, Akui Mula Serasi Taktikal Baru Cheng Hoe

Sementara itu, dia turut berada dalam keadaan terpegun buat seketika dan sama sekali tidak menjangkakan badi sejak 2019 berjaya ditamatkan pada saingan separuh akhir pertama.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan untuk kita menang. Lebih-lebih lagi dengan tiga gol. Kita berjaya menang dengan keputusan 3-1,” kongsinya.

Selain itu, Mukhairi juga memberi gambaran akan terus bersama Selangor FC biarpun dia masih belum dibenarkan membuat kenyataan secara terbuka kerana kontraknya bersama Gergasi Merah masih belum tamat.

“Saya sendiri pun hendak bersama Selangor FC. Permainan saya pun banyak diperbaiki di sini. Jadi Insha Allah mungkin saya akan terus bersama Selangor,” jelasnya.