TONGGAK utama skuad bola sepak kebangsaan ke Sukan Sea Kemboja, Mukhairi Ajmal menganggap aturan jadual yang menyaksikan Malaysia bermain lewat adalah satu kelebihan dan bukannya kekurangan buat dia dan rakan-rakan sepasukannya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Thailand, Singapura dan Laos mendapat rehat pada perlawanan pertama dan peluang ini boleh digunakan untuk mengkaji taktikal dan permainan pihak lawan.
Dia juga tidak berasa terganggu dengan jadual penerbangan yang lewat kerana pemain sudah biasa di peringkat kelab dan mahu memastikan mereka mempunyai rehat yang cukup dan fokus pada perlawanan bertemu Laos.
“Bermain lewat tidak menggangu kerana mereka dah bermain jadi kita dapat tengok game mereka dan kita dapat baca taktikal mereka dan ini peluang yang terbaik untuk kita perbaiki apa perlu diperbaiki.
“Sebagai pemain kita tidak perlu rasakan ianya menggangu. Ini kerana kita sudah biasa ketika bersama kelab dan saya harap para pemain mendapat rehat secukupnya dan fokus untuk perlawanan pada 3 Mei nanti,” katanya ketika ditemui di sesi latihan rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Mukhairi yang baru sahaja menyertai sesi latihan kerana baru pulang dari perlawanan dengan Sabah di peringkat kelab tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan pelatih yang lain dan sudah biasa dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih E. Elavarasan.
“Saya rasa semua pemain dalam keadaan baik. Saya pun baru datang selepas perlawanan dengan Sabah. Saya tengok pemain semua dapat sesuaikan diri dengan taktikal jurulatih. Saya pernah bermain dalam skuad senior dan bermain taktikal yang sama jadi saya harap pemain dapat fokus untuk Sukan Sea ini.
“Ramai pemain yang pernah saya bermain cuma perlu mengambil masa sedikit sebab dah lama tidak bersama dengan mereka dan harap pada perlawanan pertama nanti, saya cepat sesuaikan diri dengan mereka dan nak tahu apa yang mereka mahukan dan ini dapat berikan semangat buat semua kerana saya mahukan yang terbaik untuk pasukan.
“Dari segi keserasian, tidak banyak pun yang saya tertinggal sebab saya sudah lama dengan mereka cuma saya mahukan permainan dengan mereka kerana ketika Merlion Cup, saya sakit dan saya harap saya cepat sesuaikan diri dengan situasi,” tambahnya.
Skuad kendalian E Elavarasan akan memulakan cabaran menentang Laos pada 3 Mei sebelum bertemu Thailand pada 6 Mei dan Vietnam pada 8 Mei sebelum bertemu Singapura pada 11 Mei dalam usaha merebut kembali ibu segala pingat emas yang kali terakhir dimenangi pada 2011.