PENGURUS kelab Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou gembira permulaan yang baik bersama anak buahnya dalam Liga Perdana Inggeris namun dirinya tetap melihat kemenangan 2-0 ke atas Fulham masih tidak memuaskan.

Postecoglou yang merupakan anak kelahiran Australia terkenal sangat tegas dengan para pemain mengkritik persembahan hambar keseluruhan perlawanan.

“Saya sangat kecewa dengan perlawanan separuh masa kedua.

“Saya dapat melihat bahawa sepanjang tahun ini, itu mungkin adalah 45 minit terburuk Tottenham bersama dengan bola.

“Kita mesti pastikan kita tetap disiplin dalam strategi yang telah dibuat supaya rentak permainan dapat diperhalusi dengan baik di atas padang,” katanya kepada media antarabangsa.

Walau bagaimanapun, dirinya yakin Tottenham akan memperbaiki aksi dan lebih cemerlang dalam pertembungan seterusnya pada 28 Oktober di Selhurst Park menentang Crystal Palace dengan peluang untuk meraih lebih banyak mata.

Pasukan di bawah Postecoglou kini telah berjaya mengumpul 23 mata daripada sembilan perlawanan keseluruhan sejurus menjadikan skuad mereka mempunyai dua mata lebih daripada pasukan Manchester City dan Arsenal.

Tottenham yang kini berada di tangga pertama dalam kedudukan Liga Perdana serba sedikit mempunyai keselesaan tetapi pengurusnya tetap berwaspada terhadap permainan yang bakal dihadapi.