TULAR insiden pergaduhan yang berlaku di Stadium Sultan Ibrahim, pada aksi perlawanan Liga Super membabitkan pasukan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam Ahad.

Situasi berkenaan dipercayai bertambah hangat apabila tonggak pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dilihat menumbuk salah seorang pemain lawan, Tommy Mawat Bada.

Berdasarkan isu yang tular ini, FLASH SUKAN mendapatkan respons daripada seorang pengadil berpengalaman negara yang turut cakna akan insiden yang berlaku dalam perlawanan semalam.

Menurut pengadil yang sudah lama berkecimpung dalam industri bola sepak ini, dirinya melihat pemain paling bernilai (MVP) iaitu Arif Aiman terlalu berlebihan dalam melakukan tindak balas terhadap pemain lawan.

Tangkap layar berkaitan insiden yang berlaku pada perlawanan malam Ahad.

Hal ini kerana beliau menganggap cabaran yang diberikan oleh pemain Perak FC itu (menarik baju) sebagai satu perkara yang normal, dan tidak perlu dibalas dengan satu keganasan iaitu dengan cara menumbuk.

“Sebagai seorang pemain, dia tidak boleh berasa ego, menganggap dirinya ‘super star’ yang tidak boleh disentuh. Atau berada dalam satu pasukan yang besar, tidak boleh disentuh. Mungkin kadang-kadang pemain yang sedang meningkat naik dan berada di atas ini lupa di bawah, lupa asal usul.

“Tambah lagi, pemain lawan ini dilihat hanya cuba mencabar dan tiada unsur-unsur keganasan. Jadi, sebagai pemain, kita perlu menerima cabaran demikian, bukan terus menumbuk jika tidak berpuas hati,” menurut bekas pengadil berpengalaman tersebut ketika dihubungi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa hanya Arif Aiman yang sepatutnya layak menerima kad merah, bukan kepada kedua-dua pemain walaupun mereka berada dalam situasi ‘mass confrontation’.

Antara aksi pemain JDT dan Perak FC. 

“Jadi ramai berpendapat, perlu bagi kad merah kepada kedua-dua pemain, tapi adakah itu satu hukuman yang adil untuk menghukum satu pemain yang tidak bersalah?

“Kita kena lihat senario, siapa yang menumbuk siapa dan bukan kerana mereka berdua ada ‘mass confrontation’ maka kedua-duanya perlu diberi kad merah. Tidak. Sepatutnya hukuman perlu diberikan kepada pemain yang benar-benar bersalah.

“Mungkin alasan pengadil terlepas pandang akan insiden tumbuk sebagainya, tetapi kita ada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR). Kenapa VAR tidak diambil sebagai protokol yang perlu digunakan (masuk campur),” tambahnya.

Perlawanan Liga Super yang berlangsung malam Ahad itu menyaksikan JDT kekal mendominasi kemenangan setelah keputusan 5-0 berakhir di gelanggang SSI.