PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara sinis menegur tindakan pengadil yang dilihat gagal mengawal perlawanan sehinggakan aksi persahabatan antarabangsa JDT menentang Levski Sofia terpaksa dihentikan pada minit ke-54 selepas berlaku pergeseran antara pemain kedua-dua pasukan.

JDT sedang mendahului 1-0 hasil jaringan Juan Muniz pada minit ke-24 sebelum aksi ganas yang ditampilkan gagal ditangani dengan baik oleh pengadil dari Serbia yang menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan.

Beberapa tonggak import JDT dilihat sudah hilang sabar dengan keputusan pengadil yang dilihat berat sebelah dan akhirnya melakukan perkara yang tidak sepatutnya hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan dan pemain Levski Sofia masuk ke bilik persalinan dan tidak mahu meneruskan permainan.

 

Laman sosial rasmi kelab Bulgaria itu dengan pantas memuat naik hantaran mengatakan perlawanan dihentikan kerana sikap tidak profesional pemain lawan dan ini menarik minat TMJ untuk mengeluarkan kenyataan balas bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di atas padang.

Team lawan tackle no yellow card. JDT diri berapa meter jadi wall pun kena yellow card. Bagi saya reff Serbia lost control of the game. Number 30 ludah di muka Leandro dan kick Leandro tiada card. Daripada situ mulanya game jadi lebih aggressive dan tension. Mungkin mereka tak boleh terima club kecil dari Asia leading 1-0 lawan European club,” tulis TMJ di ruangan komen.

Insiden ini sedikit sebanyak menjejaskan aksi pramusim Harimau Selatan yang pada suatu ketika dilihat menguasai perlawanan dengan pergerakan bola yang menarik tetapi dirosakkan oleh permainan yang agak kasar dari para pemain Levski Sofia.

 

JDT kini berada di Dubai dalam rangka persiapan pasukan untuk menghadapi musim Liga Malaysia 2023 dan Liga Juara-Juara AFC 2023/24 dan telah mengaturkan beberapa perlawanan dengan kelab Eropah yang mempunyai pengalaman bersaing di Liga Juara-Juara UEFA.

Skuad kendalian Esteban Solari itu sebelum ini tewas 0-2 kepada kelab Russia FC Rostov dan akan bertemu dua lagi kelab Russia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg sebelum pulang ke Iskandar Puteri untuk perlawanan pembukaan Liga Super dan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC.