TONGGAK pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Shahrul Saad membayangkan edisi Piala Asia 2023 di Qatar ini mungkin yang terakhir untuknya.

Jelasnya, dengan usianya yang sudah mencecah angka 31 pada tahun ini, Shahrul sebaliknya tetap ingin memberikan penampilan terbaik buat negara di Doha.

Katanya yang juga adik kepada bekas pemain kebangsaan, Shamsul Saad itu, dirinya mengakui bukan mudah untuk beraksi di Piala Asia yang berlangsung empat tahun sekali itu.

“Sudah semestinya saya sebagai pemain mesti nak dapatkan sesuatu untuk diri sendiri.

“Saya merasakan mungkin tahun ini adalah tahun yang terakhir saya bermain untuk kempen Piala Asia ini.

“Kita tak tahu lagi pada tahun yang akan datang dan umur saya pun dah bertambah, saya tak pasti lagi keadaan saya waktu itu macam mana.

“Jadi selagi mampu berikan terbaik saya akan lakukan dan buat sebaik mungkin,” katanya.

Bersama pasukan Harimau Malaya, Shahrul mencatat 54 penampilan di pentas antarabangsa sejak 2015.

Dalam tempoh itu, pencapaian terbesarnya adlaha membantu Malaysia muncul naib juara Piala AFF pada 2018 lalu.