NEGERI Sembilan FC (NSFC) dijangka akan menurunkan kesemua pemain tempatan pada aksi pertarungan akhir Liga Super 2023 yang akan menentang Kuching City FC pada 17 Disember ini.
Pengendalinya, K.Devan menyatakan bahawa keputusan masih belum muktamad tetapi kebarangkalian itu agak tinggi kerana NSFC mungkin tidak akan menggunakan khidmat pemain import dalam aksi perlawanan akhir.
Tambah Devan, dua pemain import mereka iaitu Casagrande dan Herold Goulon tidak sinonim dengan padang ‘turf’ yang digunakan untuk menjalani latihan dan mereka juga tidak turun bersama untuk lakukan sesi latihan bersama pasukan.
“Mungkin perkara itu tidak memberi keselesaan buat mereka dan apabila mereka tidak sertai latihan, maka saya juga tidak dapat turunkan dua pemain ini dalam kesebelasan utama menentang Kuching nanti.
“Saya akui mereka memang tunggak utama skuad Jang dan ketiadaan mereka ini sedikit sebanyak akan menjejaskan prestasi pasukan.
“Tetapi, kita akan menurunkan pemain muda dan saya harap mereka ini dapat menonjolkan bakat tersendiri dan memberi satu prestasi yang penuh ajaib nanti,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Selain itu, Devan turut memberitahu bahawa Youssef Ezzejjari yang tidak akan bersama skuad itu juga mungkin menjadi punca kepada tahap kebimbangan dirinya untuk mengekalkan misi atau momentum kemenangan buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan Liga Super ini.
Pertembungan akhir Liga Super yang menyaksikan skuad Negeri Sembilan FC bertemu Kuching City FC dijadualkan akan berlangsung di Stadium Paroi, Negeri Sembilan sekali gus berharap ianya dapat menutup musim 2023 dengan kemenangan di laman sendiri.
Skuad Jang kini telah mencatat kedudukan di tangga kesembilan dengan 27 mata dalam keseluruhan 25 perlawanan Liga Super musim 2023.