DEMI memastikan Ng Tze Yong melonjakkan prestasi sekali gus layak ke Olimpik Paris, formula yang pernah digunakan terhadap legenda negara, Datuk Lee Chong Wei, diadaptasi kepada pemain Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu.

Meskipun kedua-dua pemain terbabit memiliki karaktor berbeza, namun barisan kejurulatihan mahukan fizikal Tze Yong lebih mantap, sekali gus bersedia menghadapi perlawanan yang menegangkan.

Hendrawan yakin dengan kepakaran Roesdi, dapat membantu Ng Tze Yong memiliki fizikal lebih mantap dan mengatur pernafasan dengan lebih stabil terutamanya ketika berdepan lawan yang cukup sengit.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berkata, sejak Ogos lalu, khidmat jurulatih kecergasan Mohd Roesdi Ab Ghani, yang pernah membentuk fizikal dan kecergasan Chong Wei sejak 2008 sehingga 2018, mula digunakan.

“Tze Yong masih perlu di asah lagi dan ianya memerlukan masa. Kita cuba lihat impak untuk satu dua bulan ini apabila kita fokus kepada kekuatan fizikal dan kecergasannya sahaja. 

“Saya yakin dari segi prestasi pasti semua orang juga akan lebih maju dan maju dan semua atlet mahukan benda yang sebegitu. 

Ng Tze Yong belum cukup kuat mental.

“Kita tidak boleh memaksa perwatakan atau kekuatan seseorang itu berubah tetapi kita harus tahu kekuatan mereka jadi boleh memperbaiki sedikit demi sedikit'” katanya, dalam sesi sidang media di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.

Sebelum ini, Tze Yong berkesempatan untuk menjalani latihan bersama Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia dalam misi untuk menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia yang akan berlangsung minggu hadapan.

Latihan bersama Chong Wei itu sedikit sebanyak membolehkan Tze Yong mengambil pengalaman dan berkongsi pendapat dengan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu.