PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Murilo Santos mengakui dia banyak berkomunikasi dengan rakan-rakan sepasukan di dalam padang bagi memastikan kerjasama berpasukan dapat diterapkan bagi menjamin kemenangan pertama Harimau Selatan dalam kempen Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25.
Pemain kelahiran Brazil itu gembira dengan kemenangan itu dan dilihat sering berkomunikasi dengan rakan pertahanan yang lain bagi memastikan mereka memahami tugasan dan peranan masing-masing ketika di dalam padang.
Hasilnya, JDT berjaya menewaskan juara Piala FA China 2023, Shanghai Shenhua 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa dengan Murilo menyumbang satu bantuan jaringan dan dia sangat bangga dengan usaha yang dilakukan.
“Sepanjang minggu, kami menjalani latihan yang keras dan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini selain banyak menonton dan menganalisa video dan berbincang mengenai pasukan lawan.
“Kami juga tahu jika kami bermain sebagai satu pasukan, kami akan mendapat keputusan yang baik dan atas sebab itu kami sering berkomunikasi antara satu sama lain di dalam padang.
“Tugas kami sebagai pemain adalah untuk berikan yang terbaik buat JDT dan sesiapa yang diberikan peluang untuk bermain perlu tunjukkan kualiti di atas padang. Saya sangat bangga dengan bantuan jaringan yang diberikan dan saya juga bangga dengan usaha rakan-rakan sepasukan,” katanya.
Murilo turut memuji dan berterima kasih kepada penyokong JDT yang memenuhi stadium kerana padanya ia menambah semangat para pemain yang merasai denyut sokongan ketika beraksi.
“Kami sentiasa gembira apabila melihat ramai penyokong hadir ke stadium dan ini memudahkan tugas kami kerana kami dapat merasainya di dalam padang dan terima kasih kepada semua penyokong,” jelasnya.
Berakhir dua perlawanan, JDT kini berjaya mengumpul empat mata dan menduduki tangga kedua liga zon Asia Timur dan kini akan bersedia untuk perlawanan ketiga menentang pendahulu, Gwangju FC di tempat lawan pada 22 Oktober nanti.