PENYERANG PJ City City FC, Darren Lok menikmati musim terbaik dengan aksi konsisten selepas berjaya meledak jaringan ke-10 peribadi ketika membantu pasukannya mengejutkan Selangor FC, 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Ahad.

Malah, penyerang berusia 31 tahun itu layak dinobatkan selaku antara penyerang tempatan terbaik di Liga Malaysia berdasarkan tahap persembahan yang sedang dipamerkan setakat ini.

Menurut Darren, dia gembira musim ini banyak menyebelahinya kerana tidak ditimpa sebarang kecederaan serius yang membuka ruang untuk dia sentiasa bermain dalam kebanyakan perlawanan.

“Musim ini menjadi antara detik terbaik saya kerana dapat beraksi lebih kerap dengan tidak banyak ditimpa kecederaan dan mampu menjaringkan sepuluh gol secara keseluruhan (dua gol di Piala FA).

“Biarpun musim ini tidak banyak mendapat bantuan bagi menjaringkan gol tetapi saya dapat memanfaatkan segala peluang yang ada serta mematangkan lagi corak permainan saya.

“Saya ada sasaran berapa jaringan yang mahu dilakukan tetapi saya mahu rahsiakan untuk diri sendiri, maaf saya tidak boleh beritahu buat masa ini.

“Selain itu, saya rasa berada dalam landasan yang betul dan harap prestasi ini dapat diteruskan dalam satu jangka masa panjang kerana saya mahu terus dipanggil dalam skuad kebangsaan terutama perlawanan persahabatan pada pada September nanti selain Piala Asia dan Piala AFF,” katanya.

Darren meledak gol tunggal kemenangan ketika bertemu Selangor FC.

Musim lalu, Darren Lok sekadar mampu menjaringkan enam gol dengan tiga gol masing-masing di Liga Super dan TM Piala Malaysia selepas tidak boleh bermain dalam 13 aksi Liga Super ekoran mendapat kecederaan di bahagian fibula.

Darren kini berada di tangga kelima penjaring terbanyak Liga Super dengan 8 gol di belakang Bergson da Silva (17 gol), Fernando Forestieri (12 gol), Caion (11 gol) dan Ronald Ngah (9 gol)

Mengenai kejayaan PJ City melalui gol tunggalnya pada minit-59, Darren akui lega kerana dapat membantu pasukan menamatkan tekanan selepas melalui 13 perlawanan tanpa sebarang kemenangan di Liga Super.

Dia mengharapkan keputusan itu bakal melonjakkan kembali semangat mereka dalam memburu kedudukan lebih baik di Liga Super memandangkan jurang mata yang tidak jauh dari pasukan yang berada di kedudukan ke-5 hingga 10.

“Tiga mata yang sangat penting kepada pasukan ditambah kami berjaya lakukannya ke atas pasukan jiran, Selangor serta menamatkan penantian kemarau kemenangan sejak sekian lama.

“Sebenarnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini kami boleh menang tetapi rezeki tidak memihak kepada kami apabila banyak mencatatkan keputusan seri.

“Musim lalu, kami menamatkan cabaran di tangga ketujuh dan sudah tentu dari musim ke musim, kami mahu perbaiki kedudukan liga dan sasaran kali ini untuk berada di pertengahan liga.

“Berbaki lima perlawanan lagi, saya rasa PJ City masih berpeluang cuma cabaran musim ini saya lihat lebih sukar kerana pasukan-pasukan lain punyai kualiti pemain yang semakin baik terutama pemain import.

“Namun, kami cuba untuk berikan saingan dan harap kemenangan ini dapat membangkitkan kembali semangat PJ City kerana masih ada kesempatan untuk mendaki carta liga.