PENYERANG PDRM FC, Nabil Ahmad Latpi mendedikasikan kemenangan ke atas Sabah FC kepada semua rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang bekerja keras bagi memastikan skuad Sang Saka Biru kini bukan lagi pasukan yang boleh dipandang enteng.

Jaringan tunggal Nabil pada minit ke-26 bukan sahaja memberikan tiga mata penuh buat PDRM tetapi juga kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Super sekali gus kini menghuni tangga kelapan liga.

“Syukur dapat tiga mata dalam perlawanan ini dan ini semua hasil kerja keras kami dalam latihan dan perlawanan. Gol saya ini adalah rezeki dan dapat beri tiga mata buat pasukan serta saya yakin pasukan ini mampu pergi lebih jauh.

“Bagi kami sebagai pasukan ‘underdog’, kami sentiasa bekerja keras dan semua pemain tahu tentang perkara itu. Kerjasama semasa latihan itu membantu dengan sifat kekeluargaan dalam pasukan dan kami sentiasa berada dalam keadaan yang harmoni,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Aksi Nabil yang sudah menyumbang dua gol buat PDRM FC musim ini mendapat pujian jurulatih, Azzmi Aziz dan ketua pasukan, Azmi Muslim namun baginya dia masih perlu berusaha untuk membantu kelab mencipta kejayaan.

“Pujian jurulatih dan kapten pasukan adalah semangat untuk saya beraksi lebih baik kerana mereka banyak bagi semangat dan saya perlu terus berusaha dan kini sudah mula nampak hasil dari usaha itu,” tambahnya.

Pemain berusia 31 tahun asal Pendang, Kedah itu juga tidak mempunyai masalah jika kelab membawa masuk penyerang baharu pada jendela perpindahan kedua kerana padanya ia akan menambah lagi persaingan dalam pasukan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak ada masalah jika ada penyerang baharu dibawa masuk kerana ianya akan wujudkan saingan sihat dan saya perlu kerja keras untuk rebut kesebelasan utama,” katanya.