PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain akui rentak permainan skuadnya akan sedikit ‘lari’ berikutan penjadualan semula perlawanan Liga Super oleh pihak Malaysian Football League (MFL).

Nafuzi  berkata, tanpa sebarang aksi kompetitif selama hampir tiga bulan di awal musim dan kini perlu lagi berehat kira-kira dua bulan adalah sesuatu yang sukar buat pasukan.

“Ibarat macam pramusim kami nak atur semula latihan, perlawanan persahabatan yang mana kita tahu ia tak sama macam aksi kompetitif. Namun ada kebaikan untuk para pemain cuma sebagai pasukan kita merasai lagi keperitan situasi ini,” ujar Nafuzi.

Pada Jumaat, MFL mengumumkan jadual perlawanan Liga Super membabitkan perlawanan ketujuh sehingga ke-10 bakal dipinda bagi memberikan laluan kepada persiapan skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.

Pertandingan terdekat perlu dilalui skuad Peteh Ganu Peteh adalah pada kempen pusingan kedua Piala FA bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 29 April.

Sementara itu, Nafuzi memuji aksi ditonjolkan awang import, Kipre Tchetche yang membalas kepercayaan dengan menyumbang satu gol semasa mengalahkan Selangor FC 2-0 di halaman sendiri pada Jumaat.

“Kipre pemain terbaik dan dia bagi apa yang saya nak. Pujian juga buat semua pemain dan saya gembira,” katanya masih memantu rapi perkembangan tahap kesihatannya sayap lincah, Faiz Nasir yang kini semakin stabil dan kembali sihat.

Selepas mengharungi empat perlawanan liga, TFC berjaya mengutip enam mata serta mencatat dua kekalahan setakat ini.