KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menganggap aksi yang ditampilkan anak-anak buahnya ketika bangkit untuk menewaskan Sabah FC 2-1 di Stadium Darul Aman pada Jumaat adalah persembahan terbaik yang ditunjukkan setakat ini.

Dia turut gembira dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain namun dia mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki bagi menghadapi cabaran dan liku-liku menjelang pusingan kedua Liga Super.

Nafuzi turut menyatakan bahawa dia sememangnya yakin dengan pemainnya sejak minit pertama lagi meskipun ketinggalan pada awal perlawanan dan berbangga dengan karakter yang ditunjukkan.

“Tahniah untuk pemain dan terima kasih bagi tiga mata. Saya yakin sejak minit pertama meskipun Sabah mendahului ‘set piece‘. Saya yakin jika pemain kekalkan cara bermain gol pasti akan datang.

“Dari separuh masa pertama kita mendominasi dengan beberapa peluang dan secara keseluruhan daripada persembahan pemain kita set intensiti yang tinggi serta karakter pemain sangat bagus untuk kemenangan yang berharga.

“Malam ini boleh dikategorikan sebagai persembahan yang terbaik. Semangat untuk bangkit dari ketinggalan itu lebih penting. Banyak lagi kelemahan dan persefahaman yang perlu diperbaiki. Ada peningkatan dari semasa ke semasa terutama pemain tempatan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ditanya adakah dia berpuas hati dengan prestasi keseluruhan pasukannya untuk pusingan pertama, Nafuzi menegaskan dia gembira kerana pemainnya dapat menunjukkan peningkatan dari masa ke masa.

“Untuk musim pertama saya dengan Kedah dan empat teratas ini boleh buat saya gembira untuk pusingan pertama namun banyak lagi liku dan cabaran yang perlu dihadapi tetapi kami perlu bekerja keras dan apa yang penting ada peningkatan dalam pasukan.

“Malam ini bukan pengakhiran. Yang penting kita ada peningkatan dan kelemahan perlu baiki kerana pusingan kedua akan jadi lebih sukar dan perlu kerja keras setiap masa tetapi semua pemain menunjukkan komitmen yang baik.

Dua gol dari Lee Tuck memastikan Kedah berjaya mendapat tiga mata penuh dan melonjak ke tangga keempat dengan dia mendapat pujian daripada Nafuzi yang memilihnya sebagai pemain terbaik perlawanan.