PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain enggan terlalu selesa dan dibuai mimpi dengan permulaan awal para pemain selepas mengutip enam mata dalam dua perlawanan.

Baginya, perjalanan liga masih panjang dan penuh berliku harus ditempuhi anak buahnya pada kempen musim ini.

Kedah yang segar membelasah Perak FC 4-1, terus di landasan kemenangan mengatasi lawan liat Terengganu FC hasil jaringan tunggal Fadzrul Danel Nizam di akhir babak kedua.

“Terlalu awal untuk menentukan hala tuju permain. Ada 22 aksi lagi, masih jauh perjalanan. Tapi walaupun dua perlawanan kami dapat enam mata, bagi saya sendiri ini bukan yang saya nampak apa yang ingin saya persembahkan.

“Tapi tidak berlaku sepanjang masa. Ada di sesetengah momen sahaja, kita kena perbaiki benda tu,” kata jurulatih berasal dari Kelantan itu.

 

KDA FC bagaikan hilang arah khusus di babak pertama apabila kerap kali ditekan pelawat namun mujur ketumpulan serangan diketuai Sony Norde menyelamatkan gawang daripada dibocori.

Nafuzi juga akui beberapa pertukaran pemain dan taktik pemain mengubah situasi pada malam perlawanan yang penuh tekanan.

“Kita tahu mampu bermain lebih baik dan saya tahu kemampuan pasukan sebab kesebelasan pertama dah penat. Mungkin persekitaran yang berbeza daripada peminat, sesetengah pemain tak merasai suasana sebegini dan pemain masih gugup.

“Pada kami, perbaiki persembahan dengan kemenangan adalah lagi baik kerana bagi keyakinan daripada kalah untuk mengubah itu adalah satu bawah tekanan,” katanya mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang terus berdiri teguh dibelakang pasukan.

Sementara itu, Amirbek Juraboev dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan setelah mempamerkan satu persembahan menarik sepanjang permainan.

Aksi mantapnya menyekat serangan Terengganu dengan berjaya membantu Sang Kenari mendapat tiga mata di halaman sendiri.