PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Mohd Nafuzi Muhammad Zain menganggap tiga mata penuh yang diraih apabila menewaskan Kelantan FC 6-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Ahad amat penting bagi merapatkan jarak mata dengan Selangor FC.

Jaringan bertubi-tubi yang dibuat oleh anak buahnya turut meningkatkan keyakinan Nafuzi supaya dapat merebut slot ke saingan Piala AFC pada musim hadapan sekali gus mencantas kedudukan Selangor yang kini berada di tangga kedua Liga Super.

“Pasukan Kedah hanya perlu konsisten dalam perlawanan untuk mengekalkan kecemerlangan dalam liga serta kini kita hanya mempunyai beza dua mata dengan Selangor.

“Jadi, tumpuan sepenuhnya diberikan untuk perlawanan selepas ini menentang Selangor FC di laman sendiri sekali gus ianya menjadi titik kedua terakhir bagi menentukan kelayakan ke Piala AFC.

“Dan sifir saya mudah sahaja iaitu kita hanya perlu menang dalam baki dua perlawanan akhir ini sahaja, lawan Selangor FC dan Sabah FC,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan FC iaitu Alfredo Vera tetap memandang positif terhadap perlawanan semalam (Ahad) walaupun dibolosi enam jaringan oleh pasukan pelawat, Kedah FC.

“Saya melihat usaha pemain yang bermati-matian di atas padang sehingga ke minit terakhir walaupun berdepan dengan pasukan lebih kuat.

“Setidak-tidaknya, ia dapat memberi satu pengalaman dan pengajaran buat mereka untuk bermain dengan lebih baik dan menutupi kesilapan yang pernah dilakukan.

“Saya juga sering berpesan kepada mereka, walaupun dalam situasi yang tidak baik seperti tidak mendapat gaji, jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk tidak bermain dengan baik malah mereka perlu terus kekal professional untuk menjadi seorang pemain bola sepak,” katanya.