JURULATIH Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan kemenangan yang diraih adalah kerana dia sudah ‘masak’ dengan cara permainan dan taktikal Selangor FC.

Jelasnya, setelah meneliti corak pemain Gergasi Merah, dia mengambil pendekatan untuk menyuruh pemain kekal di bahagian tengah dan menunggu Selangor FC melakukan kesilapan di bahagian tengah untuk menjaringkan gol.

Tambahnya, pasukannya juga bermain dengan cermat dan berjaya mengurangkan penggunaan tenaga bagi menghadapi baki saingan liga.

Kpah Sherman (kanan) kerap mencemaskan kubu Selangor.

“Kita hanya tunggu peluang. Saya pun dah banyak kali bermain dengan Selangor jadi saya dah tahu cara Selangor bermain.

“Saya rasa malam ini kita main dengan cermat, jimat tenaga sedikit. Kita hanya tekan di atas, apabila masuk kawasan kita, baru kita tekan.

“Kita nak tekan pemain untuk bermain high pressing, kita tidak cukup kuat. Kita tahu Selangor akan datang, bermain secara menyerang dengan pantas,” jelas Nafuzi Zain.

Jurulatih Interim Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil.

Sementara itu, Jurulatih Interim Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui kekalahan pasukan Selangor FC adalah disebabkan individu bernama Faisal Halim.

Jelasnya kehadiran pemain itu telah mengucar-ngacirkan momentum dan semangat pasukan Selangor FC.

Manakala, barisan hadapan Gergasi Merah perlu memiliki nafsu memburu gol yang lebih tinggi jika ingin memastikan jaringan dapat dihasilkan.

Faisal Halim sangat bahaya dan sering mengancam kubu pasukan Selangor FC.

Dalam pada itu, dia turut memahami keluhan penyokong yang mengimpikan keputusan yang baik dan dia akui Selangor FC perlu melakukan sesuatu dengan kadar segera.

“Sudah tentu kita pasukan Selangor. Kita harus panik. Kita tidak boleh tidak panik dalam keadaan macam ini. Terengganu sangat beruntung ada pemain seperti Faisal Halim.

“Hari ini, Faisal Halim secara individu sangat bagus dan memberi ancaman yang sangat bahaya. Kita perlukan keputusan yang baik. Kita kena ada naluri bunuh yang lebih baik lagi.

“Reaksi penonton menunjukkan kita tidak bermain dengan baik. Jadi, ia terpulang kepada saya, pemain dan pengurusan untuk mendapatkan keputusan yang baik. Saya 100 peratus faham perkara ini,” katanya kepada media selepas tamat perlawanan.