PASUKAN Kedah Darul Aman FC mengadakan satu perjumpaan rasmi bersama pihak pengurusan terutama Tan Sri Mohd Daud Bakar selaku pemilik majoriti Kedah FC.

Perjumpaan itu dibuat pada Selasa di Pusat Latihan, Prestasi Sukan & Perubatan Sang Kenari di Stadium Sultan Abdul Halim sebelum bermulanya sesi latihan pramusim pertama menjelang saingan bola sepak 2024-2025.

Perkara ini telah dimuat naik sendiri ke laman rasmi Instagram Kedah FC sejurus mempamerkan sikap berwibawa dan cakna okeh pihak pengurusan akan setiap perkara yang terjadi dalam kelab utara tanah air tersebut.

Tan Sri Daud Bakar menghadiri perjumpaan bersama pemain dan pihak pengurusan bola sepak Kedah 2024.

“Pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi perkembangan terkini kelab terutamanya isu berbangkit dengan pentadbiran dan kewangan agar pemain mendapat nasihat atau makluman segera berkenaan apa-apa perkembangan terkini kelab dari segi pengurusan pasukan-pasukan di bawah naungan KDA FC.

“Ketua jurulatih pasukan Liga Super Kedah FC, Nafuzi Zain turut lega mendengar penjelasan pihak pengurusan dalam meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini,” menurut kenyataan yang dimuat naik ke Instagram rasmi Kedah FC.

Selain itu, mereka turut memperkenalkan Penyelaras Pasukan baharu, Ahmad Fauzi Saari dan empat wira baharu, Syafiq Ahmad, Rizal Ghazali, Irfan Zakaria dan Zamri Pin yang akan kembali menguatkan skuad Kedah FC musim ini.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut adalah Shahrul Samsudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kedah FC dan barisan kejurulatihan termasuk pegawai pasukan Liga Super KDA FC serta pemain.