PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain jelas gembira selepas jaringan awal Syafiq Ahmad memastikan pasukannya meraih tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Liga Super 2024-25 menentang PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Sabtu.

Kemenangan itu juga memastikan Sang Kenari berjaya melunaskan hutang tiga mata yang dikenakan oleh Malaysian Football League (MFL) ke atas mereka selepas kegagalan melunaskan bayaran gaji para pemain musim lalu.

Nafuzi juga turut gembira dengan kombinasi yang ditunjukkan para pemain walaupun tidak banyak dapat dilakukan ekoran keadaan cuaca hujan yang menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan.

Nafuzi gembira dapat bayar hutang mata

“Syukur permulaan yang baik. 30 minit pertama kami bermain cukup baik dengan mencipta banyak peluang dan selepas itu hujan lebat menjejaskan permainan kedua-dua pasukan tetapi secara keseluruhan permainan pertama ini sukar tetapi gembira dengan tiga mata.

“Sebelum hujan, kami mencipta beberapa peluang dari Syafiq dan Nurulloev tetapi penjaga gol PDRM bermain baik dan selepas itu kami cuba tambah jaringan tapi keadaan cuaca dan padang tidak membantu kami.

“Pemain juga faham apa yang saya mahu tetapi ada pemain yang perlu sedikit lagi masa untuk sesuaikan diri dan saya bangga dengan aksi yang ditunjukkan kerana kita berjaya bayar hutang mata yang mana kami bermula dengan negatif tiga mata dan ini adalah penambah semangat buat para pemain untuk dibawa ke perlawanan kedua menentang Selangor minggu hadapan,” katanya selepas perlawanan.

Cuaca hujan menggangu rentak kedua-dua pasukan.

Nafuzi turut berpuas hati dengan gandingan dua kaptennya, Sony Norde dan Syafiq Ahmad yang mana kombinasi mereka berdua berjaya memberikan gol kemenangan seawal minit pertama permainan.

“Sony adalah pemain paling senior dan berhak untuk dapat lilitan kapten ditambah Syafiq yang juga berpengalaman dan kedua-duanya beri aksi terbaik dengan kombinasi yang baik meskipun bermain dalam keadaan yang sukar kerana padang yang becak, jelasnya.

Kemenangan itu meletakkan Kedah di tangga keempat liga dan meskipun masih tanpa sebarang mata, ianya akan menjadi pemangkin semangat buat para pemain selepas mengharungi detik sukar musim lalu.