PERLU ada jalan rundingan antara Nafuzi Zain dan Terengganu FC (TFC) berhubung masa depan jurulatih berusia 44 tahun itu bersama skuad Sang Penyu musim depan.
EXCO Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, prestasi semasa TFC menunjukkan Nafuzi masih layak melatih pasukan itu.
Namun menurutnya, ahli lembaga pengarah TFC hanya membuat keputusan berdasarkan cadangan barisan pengurusan dan teknikal yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ab. Rasid Jusoh.
“Kemampuan Nafuzi memimpin TFC ke kelompok atasan Liga Super serta final Piala FA adalah pencapaian yang tinggi. Jadi sudah tentu dia ada merit untuk terus kekal bersama pasukan ini.
“Barisan teknikal boleh kemukakan cadangan (mengekalkan khidmat Nafuzi atau sebaliknya) bila-bila masa tetapi sehingga kini kami ahli lembaga pengarah belum terima (cadangan).
“Saya memahami isu ini dan mengikuti rapat kerisauan penyokong. Pihak pengurusan tidak akan ambil risiko dan jika ada, kita ambil risiko yang paling kecil,” jelasnya ketika ditemui, semalam.
Nafuzi pada Sabtu membayangkan akan meninggalkan naib juara Piala FA itu dengan Kedah Darul Aman (KDA) dan Selangor FC dikatakan antara destinasi baharu beliau.