PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain terpaksa memasang strategi berbeza apabila bakal beraksi tanpa empat tonggak utama apabila berdepan Kuala Lumpur City FC untuk saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.

Sang Kenari bakal turun tanpa pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo yang mengalami kecederaan kaki, manakala dua lagi pemain, Ariff Farhan dan Kamil Akmal sedang melalui penggantungan, manakala J Partiban tidak dapat beraksi menentang bekas kelabnya.

“Persiapan kami terarah kepada beberapa pertukaran pemain kerana empat pemain tidak dapat diturunkan pada perlawanan ini dengan Manuel Hidalgo yang masih mengalami kecederaan, Arif Farhan dan Kamil Akmal menjalani penggantungan manakala Partiban juga yang tidak dapat diturunkan.

“Kami kehilangan empat pemain utama pada aksi kali ini dan sudah pasti ianya satu cabaran besar yang perlu kami hadapi untuk berdepan KL City yang juga antara pencabar semua pasukan buat masa ini dengan pencapaian mereka layak ke pentas final Piala FA dan Separuh Akhir Piala Malaysia musim ini.

“Jadi kami perlu melihat pada penggantian pemain yang terbaik dan perlu terus fokus untuk memastikan kami dapat mengekalkan keupayaan pada setiap posisi berkenaan dalam usaha memburu tiga mata,” katanya.

Nafuzi juga berkata dia berharap setiap pemain yang dipilih untuk beraksi perlu menggunakan peluang terbaik ini dalam usaha membantu misi pasukan yang mahukan kemenangan bagi memastikan buruan tempat ke kejohanan Asia musim depan masih terbuka.

“Dengan penggantian pemain yang akan menggalas cabaran nanti, saya berharap mereka dapat tampil bersedia dengan aksi yang diharapkan untuk memastikan misi tiga mata penuh buat pasukan dapat dicapai kerana ianya penting bagi memastikan sasaran kami untuk mendapat tempat kedua liga yang akan memberi laluan ke saingan Piala AFC pada musim depan,” tambahnya.

Kedah Darul Aman juga sudah tentu akan menggunakan perlawanan menentang KL City ini sebagai medan untuk bangkit selepas tewas pada aksi pertama Challenge Cup di tangan Kuching City FC minggu lalu.