PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, akan mempertaruhkan barisan terkuat dalam kunjungan ke Stadium Hang Jebat bertemu Melaka United (MU), pada Jumaat.
Menurut Nafuzi, semua pemain utama TFC bebas daripada senarai kecederaan atau penggantungan perlawanan termasuk penyerang, Kpah Sherman.
“Moral pasukan masih pada tahap terbaik dan Sherman juga kembali menyertai sesi latihan selepas kembali dari tugas bersama skuad kebangsaan, minggu lalu.
“Namun saya belum mendapat bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan dalam misi membawa pulang tiga mata dari tempat lawan,” ujarnya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Jelas Nafuzi lagi, TFC tidak memandang mudah cabaran MU walaupun menyedari isu di luar padang pasukan itu selain turut bergelut dengan masalah prestasi.
Katanya, tiada istilah pasukan pilihan dan menganggap kemenangan 5-0 dalam pusingan pertama, September lalu, bukan penentu keputusan perlawanan malam esok.