JURULATIH Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui pasukan Selangor FC merupakan lawan pertama yang mampu memberi kesukaran kepada mereka meskipun beraksi di laman sendiri.

“Untuk saya sendiri, kita memang akur dengan kualiti pasukan lawan. Mungkin perlawanan pertama yang memberi kesukaran di tempat sendiri,” kongsinya selepas perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2022.

Jelasnya, dia terlampau sedih kerana tidak dapat menghadiahkan aksi final buat para penyokong Terengganu FC.

Tambahnya, dia akan merindui suasana bersama penyokong Terengganu FC kerana mereka sentiasa menjadi tulang belakang buat dirinya biarpun ada ketika dia berada dalam situasi sukar.

“Untuk saya, saya hendak beri hadiah kepada penyokong. Saya hendak beri kemanisan kepada penyokong.

“Memang saya rasa sedih. Sebab memang saya sayang penyokong, memang saya hendak bagi final ini untuk penyokong. Walaupun, saya bersama situasi sukar, tetapi penyokong tetap bersama saya.

“Itulah saya sedikit sedih, saya akan rindui suasana di sini. Saya memang sedih kita tidak dapat ke final. Saya akan merindui penyokong Terengganu,” katanya.

Biarpun diasak tentang spekulasi perpindahannya ke pasukan lain musim hadapan, dia menjelaskan pengumuman tersebut hanya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Tidak mengapalah. Sekarang saya masih ada kontrak bersama TFC lagi. Mungkin dalam masa yang sesuai nanti, saya akan beritahu,” jelasnya.