PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain tidak mahu menyalahkan mana-mana pemainnya selepas Sang Kenari sekali lagi tidak berjaya mencapai kemenangan dalam aksi Liga Super 2024-25 selepas diikat Negeri Sembilan FC.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, dua jaringan Jacque Faye memastikan pasukan di tangga terbawah liga itu berjaya mencuri satu mata untuk dibawa pulang ke Paroi yang turut menyaksikan kemarau kemenangan Kedah berlanjutan kepada lima perlawanan dalam semua pertandingan.
Bagaimanapun Nafuzi optimis dengan corak yang ditampilkan anak-anak buahnya namum masih kecewa kerana kelekaan membawa padah sekali lagi buat pasukannya.
“Kalau tengok pada keseluruhan permainan, ada sisi positif yang kita boleh lihat terutama aksi pada babak kedua yang lebih baik berbanding babak pertama apabila kita dibolosi.
“Kita leka pada penghujung babak pertama sebelum semangat pemain pastikan kita bangkit mendahului 2-1 tetapi kesilapan mudah menyebabkan kita diikat.
“Skrip ini adalah yang sama seperti ketika perlawanan menentang Kuching City dan kita kerugian untuk mendapat tiga mata,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih asal Kelantan itu juga memuji aksi yang ditunjukkan Milos Gordic meskipun pemain itu masih bergelut dengan prestasi dan mahu para pemain memperbaiki fokus pada perlawanan akan datang.
“Milos melakukan tugas yang baik walaupun gagal menjaringkan gol kerana tahap keyakinan dia masih ditahap yang perlu lebih baik tetapi kebanyakan pemain bermain baik cuma kita gagal mendapat tiga mata.
“Dengan peluang yang kita ada, kita berhak tambah gol tapi inilah bola sepak. Kelekaan dan hilang fokus sebabkan kita kehilangan mata penuh,” jelasnya.
Keputusan seri itu menyaksikan Kedah kini berada di tangga kelapan dengan lapan mata manakala Negeri Sembilan naik keluar dari tangga terbawah liga dengan jumlah empat mata selepas lapan perlawanan.