PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain memberi bayangan akan meninggalkan pasukan itu sebaik tamat kempen Piala Malaysia musim ini.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mengalahkan KL City FC, Nafuzi mengakui terkilan dengan tahap profesionalisme pihak pengurusan TFC.
“Saya menerima surat tawaran lanjutan kontrak yang bertarikh 27 Otober itu pada 29 Oktober lalu dan hanya diserahkan di padang latihan oleh kitman pasukan.
“Sebagai pasukan profesional, itu tidak sepatutnya berlaku dan mereka patut memanggil saya untuk berbincang persiapan pasukan musim depan.
“Namun itu tidak terjadi. Tiada sebarang pertemuan dengan pihak pengurusan sehingga kini dan indeks prestasi utama (KPI) juga diletakkan tanpa berbincang dengan saya.
“Saya akan menyerahkan surat jawapan berkenaan tawaran itu esok (Ahad),” jelasnya kepada pemberita.
Untuk rekod Nafuzi yang mula melatih TFC sejak 2019 membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Super dan Piala FA sekaligus mara ke Piala AFC musim depan.
Selain itu, pada aksi suku akhir kedua menyaksikan Terengganu FC (TFC) mengatasi cabaran KL City FC, 3-1 sekaligus menempah tiket ke pusingan empat terbaik dengan agregat 4-1.