KETUA jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain teruja menanti kehadiran bekas pasukan, Terengganu FC menjelang saingan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman pada Rabu.
Baginya, perlawanan berkenaan menjadi kesempatan terbaik buat pemain tuan rumah meraih tiga mata walaupun lawan bukan calang-calang pasukan kerana bakal bermain di pentas Piala AFC.
Dia yang pernah mengendalikan Terenganu pada musim 2017 sehingga 2022 menanti penuh debar dan berazam untuk mencatat keputusan positif ketika berdepan bekas pasukannya itu.
“Bagi saya perlawanan bertemu Terengganu agak istimewa kerana di sana bermula segalanya. Kita tahu Terengganu pasukan terbaik tahun ini dan mereka menyiapkan diri bermain di Asia.
“Memang seronok apabila saya anggap Terengganu rumah kedua saya. Masing-masing kenali satu sama lain.
“Apapun, saya yakin kemampuan para pemain, bermain di tempat sendiri dan mendapat sokongan padu. Kami tak nak kecewakan penyokong, kita akan membalas tiga mata untuk mereka gembira,” katanya semasa sidang media pra perlawanan di Alor Setar pada Selasa.
Sementara itu, kira-kira 80 peratus tiket online telah terjual untuk pertembungan hangat kedua-dua pasukan yang dijangka berlangsung sengit.
Pihak KDA FC juga memaklumkan tiket fizikal mula dijual hari ini di tujuh lokasi berbeza.
“Tiket fizikal dijual bermula hari ini. Dapatkan segera! ,” menurut kenyataan rasmi kelab.
INFO PERLAWANAN :
KDA FC vs TERENGGANU FC
1 Mac 2023, Rabu, 9.00 malam
Stadium Darul Aman