MASA depan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, terus samar apabila dia belum menerima tawaran lanjutan kontrak yang ditawarkan kepadanya.

Sebaliknya pengendali berusia 44 tahun itu terus berteka-teki berhubung destinasi musim depan meskipun kontraknya akan tamat hujung bulan ini.

Nafuzi turut menegaskan, keutamaannya ketika ini adalah mempersiapkan TFC menghadapi suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu KL City FC pada Sabtu sebelum memikirkan isu kontrak terbabit.

“Sekarang saya cuma fikirkan aksi menentang KL City, itu sahaja fokus sekarang. Saya akan jawab (kontrak) selepas tamat Piala Malaysia,” ujarnya ringkas kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC pada 25 Oktober lalu bersetuju menawarkan lanjutan kontrak setahun kepada Nafuzi susulan prestasi cemerlang pasukan itu musim ini.

Jurulatih kelahiran Kelantan itu turut diberikan masa 14 hari untuk memberi jawapan, namun difahamkan Nafuzi telah pun menerima surat tawaran terbabit pada Sabtu, 29 Oktober lalu.

Ketika ini, Nafuzi turut dikaitkan bakal beralih angin ke Kedah Darul Aman (KDA) FC menggantikan jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Shahrin Sahak.