SEMANGAT penyokong Sang Kenari tidak pernah luntur apabila sanggup menaiki motosikal dari Alor Setar ke Gong Badak bagi menyaksikan pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketika ada yang memilih menyertai rombongan dengan bas serta memandu sendiri, berlainan pula salah seorang peminat tegar Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Nur Daniel Roslan, 27 yang sanggup menempuh jarak perjalanan lebih kurang 444 kilometer.
Berasal dari Datuk Kumbar, Alor Setar, mesra disapa Dani, dia selalu menjadikan motosikal sebagai pengangkutan mudah ke mana-mana stadium dalam semenanjung Malaysia.
“Ada yang menaiki bas, ada yang menaiki van, ada yang menaiki kereta, dan ada yang menaiki motosikal untuk ke sana (Gong Badak).
“Masing-masing korbankan masa, duit dan cuti untuk ke sana kerana perlawanan diadakan di hari bekerja.
“Kami semua mengharapkan pasukan Kedah akan memberikan segala-galanya untuk perlawanan esok (malam ini) serta menang dan berjaya ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Flash Sukan.
Dani menjangkakan seramai 300 lebih penyokong Kedah yang akan hadir ke kubu milik Terengganu FC itu.
Dani yang terkenal dengan imej berkain pelikat turut terbang ke Gianyar, Bali baru-baru ini semasa KDA FC terlibat dalam kempen Piala AFC 2022.
Terengganu dan Kedah akan berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan pemenang akan berdepan Kuching City FC.