PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik, bertegas mewajibkan pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim hadapan, untuk menghantar pasukan Piala Presiden dan Piala Belia, jika mahu bersaing dalam liga tertinggi bola sepak negara.

Keputusan itu dibuat FAM, dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induknya, sekali gus membawa maksud, mana-mana pasukan yang gagal berbuat demikian tidak layak mendapat lesen untuk bersaing dalam Liga Super.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, syarat itu dibuat bagi memastikan pasukan dalam Liga Super memainkan peranan mereka, membangunkan akar untuk melahirkan lebih ramai pemain pelapis.

Terengganu FC dan KL City antara pasukan yang bersaing dalam Liga Super 2023. ( Foto Akma | Flash Sukan )

Malah katanya, perkara tersebut sudah ditekankan sejak musim lalu namun kini barulah ia diwajibkan.

“Sekarang kita harapkan pasukan ini mengambil langkah menunjukkan usaha, kita tak boleh nak tinggalkan pembangunan, ia perlu. Semua pasukan kena ada, kalau tak macam mana kita nak lahirkan pemain.

“Maknanya kalau pasukan berbelanja RM10 juta, mereka kena peruntukkan juga untuk pembangunan. Kalau kita tak buat macam itu mereka mungkin belanja RM15 juta, RM20 juta, tetapi pembangunan tak ada.

JDT, sebuah pasukan dalam Liga Super 2023 yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh. ( Foto Akma | Flash Sukan )

“Kita nak pasukan yang berusaha memastikan prestasi terbaik bagi pasukan utama (Liga Super), dalam masa yang sama mesti fikirkan pembangunan akar umbi.

“Memang akan ada masalah dari segi kewangan, tetapi sekarang ini kita nak masing-masing (pasukan) bijak menguruskan kewangan tanpa meninggalkan hak pemain muda untuk beraksi,” katanya, pada sidang media di Wisma FAM pada Isnin.

Kedah Darul Aman FC antara kelab Liga Super yang mempunyai kewangan goyah musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN :  Daud Bakar akui KDA FC alami masalah tunggakan gaji

Meskipun tuntutan FAM itu satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, sudah tentu perkembangan itu bakal menambah bebanan buat pasukan Liga Super terutama dalam aspek kewangan, kerana mereka perlu membentuk dua pasukan lagi, selain skuad utama Liga Super dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun yang bersaing dalam Piala MFL.

Dalam pada itu, saingan Piala Presiden (B-20) dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia (B-18) akan dimulakan pada April hingga September 2024 disebabkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).