KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Nanthakumar mengakui dia berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya meskipun tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Meskipun tewas besar di laman sendiri namun Negeri Sembilan masih mampu melancarkan beberapa peluang dan mempunyai peluang untuk membolosi JDT namun Nanthakumar menganggap sebagai kurang bernasib baik.
“Bagi saya kita semua tahu JDT adalah pasukan yang baik di Liga Malaysia dan akhirnya kita kalah 4-0 di laman sendiri tetapi saya puas hati dengan persembahan pemain yang ditunjukkan diatas padang.
“Kita memang ada beberapa peluang dan kita gagal jaringkan gol pada lewat permainan tetapi pada saya ianya lebih kepada kurang bernasib baik ketika dalam permainan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Nanthakumar juga menjelaskan keadaan pemain import baharunya, Ricardo Pires yang masih belum menemui sentuhan jaringan selepas tiga perlawanan dan dia tidak gusar dengan perkara itu.
“Selepas melihat ada pemain muda yang berkualiti, kita bawa mereka masuk ke pasukan utama selain daripada kita ada kecederaan pada pemain pasukan utama dan Ricardo Pires masih menyesuaikan diri namun ianya bukanlah perkara yang perlu dibimbangkan,” jelasnya.
Pengendali yang mempunyai 36 penampilan bersama skuad Malaysia itu turut percaya pasukannya mampu meraih empat hingga lima kemenangan dalam pusingan kedua sekaligus keluar dari zon bawahan liga.
“Jika ditanya sekarang, pilihan saya adalah Liga Super dan bukannya Piala Malaysia kerana saya percaya kami boleh mencipta empat hingga lima kemenangan pada pusingan kedua ini,” jelasnya.
Negeri Sembilan bagai jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja tewas 0-4 tetapi bakal kehilangan khidmat Harith Samsuri yang dilayangkan kad merah dan kecederaan yang melanda Azrin Afiq serta Ikhwan Yazek.