PEMENANG empat kali gelaran Grand Slam, Naomi Osaka mengumumkan yang dia kini sedang hamil.

Segala teka-teki berhubung penarikan diri dari Terbuka Australia dan sebab dia tidak beraksi dalam sebarang kejohanan bermula September tahun lalu akhirnya terjawab apabila dia secara terbuka mengumumkan bahawa dia sedang hamil.

“2023 akan menjadi tahun yang sangat bermakna untuk saya. Satu perkara yang akan saya tunggu adalah untuk anak saya melihat perlawanan saya dan memberitahu orang lain, lihat , itu adalah ibu saya,” jelasnya.

Pada September 2021, dia mengambil keputusan untuk berehat selama lima bulan daripada sukan tenis.

Sekembalinya ke arena tersebut, dia tumpas pada pusingan ketiga Terbuka Australia, disusuli kecundang di pusingan pertama Terbuka Perancis, kemudian terlepas aksi Wimbledon kerana faktor kecederaan.

“Beberapa tahun lalu sangat menarik untuk diperkatakan, tetapi saya melihat detik yang paling mencabar (mengandung) adalah sesuatu yang menyeronokkan.

“Beberapa bulan lepas telah memberi detik bermakna dalam hidup saya terhadap sukan yang diceburi.

“Saya sedar bahawa hidup itu sangat singkat dan saya tidak mengambil masa dengan sambil lewa. Setiap hari adalah pengembaraan dan perlu bersyukur. Saya tahu masih banyak lagi yang perlu saya lihat pada masa hadapan,” katanya.

Selain Osaka, terdapat beberapa atlet lain yang turut berkongsi kehamilannya sewaktu masih bergelar pemain seperti Angelique Kerber, Elina Svitolina serta Serena Williams.