KEDUDUKAN Muhammad Amin Rahim hanya akan ditentukan Pengerusi Kejurulatihan yang baharu dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kedua-dua jawatankuasa terbabit akan bermesyuarat sebelum membentangkan kata putus kepada majlis KHM untuk penilaian seterusnya sama ada akan ada perubahan ataupun sebaliknya dalam kejurulatihan mahupun pemain.

“Kita ada Pengerusi Kejurulatihan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan. Kita akan berbincang dalam masa terdekat dan saya memberikan kebebasan kepada kedua-duanya untuk membincangkan mengenai jurulatih seterusnya.

“Sama ada kekalkan jurulatih sama atau yang lain… itu saya tak tahu, saya tak boleh membuat keputusan. Bukan saya buat keputusan tetapi keputusan penuh di tangan Pengerusi Kejurulatihan baharu nanti dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

“Mereka akan bentangkan kepada majlis dan cadangkan sama ada kita teruskan atau mereka rasa perlu ada perubahan. Saya tak boleh jawab, bagi saya terlalu awal untuk cakap perkara ini,” kata Subahan kepada media, hari ini.

Young Tigers menutup tirai Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan berada di tangga ke-12 daripada 16 pasukan bertanding selepas meletak sasaran awal untuk melepasi peringkat suku akhir.

Keputusan itu meletakkan anak didik Amin menyamai pencapaian pada edisi 2001 di Hobart, Australia sertai 2009 ketika menjadi penganjur bersama di Johor Bahru dan Singapura.

Semalam, Amin yang mengemudi pasukan remaja sejak Oktober tahun lalu menyerahkan nasibnya kepada KHM dengan difahamkan kontraknya bakal tamat pada penghujung bulan ini.

Skuad remaja negara ada memiliki potensi namun belum cukup untuk menyaingi negara besar hoki dunia.

“Namun bukan sahaja jurulatih tetapi pemain pun penting. Kalau pemain ada yang sambil lewa, itu masalah. jadi kalau mereka (pemain) memikirkan tempat dijamin, tidak sebenarnya.

“Kalau Malaysia nak berjaya… sikap dan karakter itu amat penting. Semua laporan akan datang kepada saya nanti. Bukan sahaja jurulatih tetapi pemain juga. Apapun, sekali lagi itu bukan tugas saya untuk tentukan siapa jurulatih ataupun penolong.

“Kita akan beri tugas kepada Pengerusi Kejurulatihan yang baharu nanti. Saya akan umumkan dalam dua minggu lagi, kalau dia (Pengerusi Kejurulatihan) rasa perlu yang lain, dia kena jelaskan pada majlis dan kalau merasakan jurulatih sekarang bagus, kita akan ikut,” kata Subahan.