PENSTRUKTURAN baharu kejurulatihan di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka berlaku dan mampu mengubah senario yang dihadapi badan induk badminton negara, ketika ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysa (ABM), Rexy Mainaky berkata, perubahan struktur kejurulatihan itu melibatkan jabatan yang perlu dan akan diputuskan menerusi mesyuarat bersama pihak pengurusan BAM, kira-kira dua minggu lagi.

“Kami akan tengok pada department yang perlu sahaja dan ia akan dibincang pada 24 September ini,” kata Rexy, ketika ditemui di ABM.

Menjawab mengenai satu iklan jawatan kosong jurulatih perseorangan lelaki yang diuar-uarkan BAM pada Mei lalu, Rexy berkata, sesi temuduga belum dijalankan setakat ini.

“Kita akan bincangkan juga dalam mesyuarat 24 haribulan nanti, kita sudah ada calon siapa-siapa, tetapi akan dibincangkan dalam mesyuarat terlebih dahulu.”

Ketika ini, perseorangan lelaki mempunyai tiga jurulatih, Hendrawan, Datuk Tey Seu Bock dan James Chua.

Hendrawan mahu melihat sejauh mana prestasi Ng Tze Yong pada perlawanan pertama, selepas mengharungi proses pemulihan dari kecederaan belakang.

Untuk rekod, Hendrawan sudah berkhidmat bersama BAM sejak 2009 manakala Seu Bock yang membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik mula bergelar jurulatih kebangsaan pada 2002.

James, bekas juara Terbuka Malaysia, pula memulakan tugasnya selaku jurulatih perseorangan lelaki negara pada Julai 2022.

Pemain perseorangan lelaki BAM masih ketandusan gelaran di pentas antarabangsa, manakala perseorangan wanita pula masih gagal meninggalkan impak.